Saturday, October 22, 2011

RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KEDUA

KAJIAN SEMULA RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG KEDUA, 1991-2000

I : PENDAHULUAN
2.01 Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), 1991-2000, telah menjadi asas kepada pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), yang bertujuan untuk mencapai pembangunan seimbang. Rangka kerja umum pembangunan ekonomi yang diterapkan dalam DPN telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi moden yang berasaskan industri dan hasilnya telah menyaksikan kemajuan ekonomi dan sosial yang pesat. Pada tahun 1998, ekonomi telah mengalami kemelesetan yang paling teruk disebabkan krisis kewangan Asia. Kerajaan kemudiannya telah memperkenalkan beberapa langkah yang berjaya memulihkan ekonomi dan meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
II : TERAS DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL
2.02 Teras utama DPN adalah untuk mewujudkan keseimbangan yang optimum antara matlamat pertumbuhan ekonomi dan ekuiti, memastikan pembangunan yang seimbang antara sektor-sektor utama ekonomi, mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan dari segi sosial, ekonomi dan wilayah dan memastikan kesejahteraan hidup di samping menerapkan nilainilai sosial dan kerohanian yang positif. DPN juga memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia, menjadikan sains dan teknologi sebagai sebuah komponen penting dalam perancangan pembangunan dan memastikan perlindungan alam sekitar bagi mengekalkan pembangunan negara yang mampan dalam jangka panjang.
2.03 Di samping mengekalkan strategi asas Dasar Ekonomi Baru, DPN juga telah memperkenalkan beberapa dimensi baru. Dimensi baru ini termasuklah mengalihkan tumpuan strategi pembasmian kemiskinan ke arah menangani masalah ketermiskinan, menekankan pewujudan guna tenaga dan pembangunan pesat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang aktif sebagai strategi yang lebih berkesan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera yang bermakna dalam sektor ekonomi yang moden, lebih bergantung kepada sektor swasta untuk mencapai objektif penyusunan semula masyarakat dan mengukuhkan pembangunan sumber manusia
II : KEMAJUAN DAN PENCAPAIAN, 1991-2000
2.04 Dalam tempoh RRJP2, ekonomi Malaysia terus mengalami perubahan struktur. Negara telah menyaksikan pengukuhan dalam asas sektor pembuatan dari segi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi serta komposisi industri. Saiz sektor perkhidmatan telah berkembang dan kualitinya telah meningkat. Perubahan dalam struktur pengeluaran juga telah dicerminkan oleh corak guna tenaga dan komposisi eksport.
Pencapaian Ekonomi Makro
2.05 Pada keseluruhannya, ekonomi telah berkembang pada kadar purata 7.0 peratus setahun dan mencapai matlamat bagi tempoh RRJP2 walaupun ekonomi mengalami masalah krisis kewangan dalam tahun 1997-1998 seperti yang dibincangkan dalam Kotak 2-1. Kadar pertumbuhan yang tinggi tersebut dicapai dalam persekitaran kadar inflasi dan pengangguran yang rendah. Pendapatan per kapita telah meningkat pada kadar purata 7.8 peratus setahun dan bertambah dua kali ganda daripada RM6,298 kepada RM13,359 pada akhir tempoh RRJP2. Per kapita dalam kuasa beli pariti (PPP) telah meningkat sebanyak 5.3 peratus setahun kepada USD8,852 atau 2.5 kali lebih tinggi daripada per kapita pendapatan sebanyak USD3,516.
2.06 Dalam tempoh RRJP2, produktiviti faktor keseluruhan (TFP) telah menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada pertumbuhan keseluruhan sementara sumber utama pertumbuhan ialah tenaga buruh dan modal seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-1. Sumbangan yang tinggi daripada modal adalah hasil daripada kadar pertumbuhan pelaburan yang pesat dalam tempoh tujuh tahun pertama Rancangan, yang telah meningkatkan kapasiti pengeluaran tetapi belum menghasilkan pengeluaran sepenuhnya. Sesetengah pelaburan mempunyai tempoh matang yang panjang terutamanya projek infrastruktur yang dibina untuk memenuhi permintaan masa hadapan. Dalam tempoh separuh kedua RRJP2, kejatuhan mendadak permintaan dalam negeri berikutan krisis kewangan telah mengakibatkan lebihan kapasiti yang menyebabkan penurunan TFP.


2.07 Dalam tempoh 1990-1999, TFP bagi sektor pembuatan dianggar telah meningkat sebanyak 5.1 peratus seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-2. Industri makanan dan minuman, perabut, keluaran kaca dan tanah liat, jentera am, jentera elektrik dan pembuatan lain telah mencatatkan kenaikan TFP yang lebih tinggi semasa tempoh separuh pertama RRJP2, sementara industri jentera am serta industri berasaskan sumber seperti tekstil dan pakaian, keluaran kayu dan perabut mengalami pertumbuhan TFP yang lebih tinggi semasa tempoh separuh kedua RRJP2. Dalam tempoh 1990-1999, industri makanan dan minuman, perabut, keluaran kaca dan tanah liat, jentera am, jentera elektrik dan pembuatan lain telah merekodkan pertumbuhan TFP yang lebih pesat berbanding dengan pertumbuhan TFP keseluruhan bagi sektor pembuatan. Prestasi TFP pada peringkat firma dibincangkan dalam Kotak 2-2.
2.08 Nisbah tambahan modal kepada pengeluaran (ICOR) telah meningkat secara purata daripada 3.3 pada tahun 1990 kepada 3.5 pada tahun 2000 dan secara puratanya 6.1 bagi keseluruhan tempoh RRJP2. ICOR yang tinggi tersebut menunjukkan kejatuhan yang mendadak dalam kecekapan modal disebabkan oleh penggunaan kapasiti yang rendah semasa kejatuhan ekonomi. Pelaburan yang besar dalam projek infrastruktur dan industri berat yang mempunyai tempoh matang yang panjang turut menyumbang kepada ICOR yang tinggi.
2.09 Dari segi permintaan, penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi ialah perbelanjaan swasta serta eksport barangan dan perkhidmatan bukan-faktor seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-3. Pelaburan swasta berkembang pada kadar purata sebanyak 2.9 peratus setahun, jauh lebih rendah daripada matlamat sebanyak 8.0 peratus setahun disebabkan oleh penguncupan ekonomi yang teruk pada tahun 1998 seperti ditunjukkan dalam Carta 2-1. Dalam tempoh tujuh tahun pertama RRJP2, pelaburan swasta merupakan pemangkin utama pertumbuhan dan berkembang pesat pada kadar 17.0 peratus setahun hasil daripada kedudukan ekonomi yang lebih baik, kadar cukai syarikat yang lebih rendah dan peningkatan dalam elaun pelaburan semula. Pelaksanaan pesat program penswastaan telah menjana pelaburan dalam negeri terutamanya dalam sektor utiliti, pengangkutan dan perkhidmatan sosial. Di samping itu, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang besar ke dalam sektor pembuatan untuk peningkatan kapasiti dalam industri berorentasikan eksport termasuk sektor minyak dan gas serta pelaburan dalam bidang yang berintensif modal dan berteknologi tinggi turut menyumbang kepada kadar pelaburan swasta yang tinggi. Galakan FDI telah diperkukuhkan dengan pengenalan beberapa pakej insentif tambahan pada tahun 1996 untuk menarik syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menubuhkan operasi mereka dalam Koridor Raya Multimedia (MSC).

2.10 Penggunaan swasta telah berkembang pada kadar 5.5 peratus lebih rendah daripada matlamat asal sebanyak 7.2 peratus setahun terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih berhemat. Usaha Kerajaan bagi menggalakkan tabungan dalam negeri serta mengawal inflasi juga telah menyumbang kepada perbelanjaan yang lebih rendah. Di samping itu, kesan negatif kekayaan berikutan daripada krisis kewangan turut mempengaruhi sentimen pengguna yang telah menyebabkan penguncupan dalam perbelanjaan pada tahun 1998.
2.11 Pelaburan awam telah berkembang sebanyak 10.5 peratus setahun berbanding dengan matlamat penurunan sebanyak 0.4 peratus setahun dalam tempoh RRJP2. Kebanyakan daripada pelaburan awam telah dilaksanakan oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) terutamanya Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad untuk membiayai program pengembangan dan pemodenan terutamanya dalam tujuh tahun pertama RRJP2. Peningkatan ini juga adalah hasil daripada pakej rangsangan fiskal yang dilancarkan oleh Kerajaan pada awal tahun 1998 bagi menjana pemulihan ekonomi. Tumpuan pelaburan sektor awam adalah untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan bagi menyokong inisiatif sektor swasta dan memenuhi permintaan yang meningkat bagi perkhidmatan yang lebih baik daripada masyarakat yang semakin mewah. Penggunaan awam yang merupakan 20.5 peratus daripada perbelanjaan penggunaan telah berkembang pada kadar 5.5 peratus setahun selaras dengan dasar fiskal berhemat Kerajaan.
2.12 Eksport telah memainkan peranan yang semakin penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP2 terutamanya dalam menerajui pemulihan ekonomi keluar dari krisis kewangan. Sektor tersebut telah berkembang pada kadar 16.7 peratus dalam tempoh RRJP2. Sumbangan eksport daripada perkakasan dan peralatan jentera elektronik dan elektrik semakin meningkat iaitu sebanyak 61.6 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2000 berbanding 33.3 peratus pada tahun 1990 seperti ditunjukkan dalam Carta 2-2. Permintaan yang kukuh terhadap produk ini adalah terutamanya disebabkan oleh kebimbangan terhadap masalah Pepijat Alaf (Y2K), pertumbuhan pesat Internet, telefon mudah alih dan telekomunikasi serta keperluan meningkatkan teknologi bagi tujuan meningkatkan daya saing. Import telah berkembang pada kadar purata 14.7 peratus setahun dalam tempoh RRJP2. Disebabkan kandungan import yang tinggi dalam struktur pengeluaran, pertumbuhan pesat sektor pembuatan telah menghasilkan import barangan modal yang lebih tinggi sebanyak 12.1 peratus dan barangan perantaraan sebanyak 16.2 peratus seperti ditunjukkan dalam Carta 2-3.
2.13 Kedudukan imbangan pembayaran terus kukuh pada akhir tempoh RRJP2 berikutan pertumbuhan pesat barangan eksport seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-4. Akaun barangan telah mencatatkan lebihan bagi keseluruhan tempoh RRJP2 dengan lebihan terbesar sebanyak RM86.5 bilion dicatatkan pada tahun 1999. Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan masih mengalami defisit terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih pendapatan pelaburan yang kebanyakannya berpunca daripada penghantaran pulang keuntungan dan dividen oleh pelabur asing. Di samping itu, bayaran yang tinggi bagi tambang dan insurans, bayaran kontrak dan yuran profesional serta penghantaran pulang pendapatan oleh pekerja asing juga menyumbang kepada defisit ini. Walau bagaimanapun, dasar yang dilaksanakan bagi mengukuhkan akaun perkhidmatan telah menghasilkan beberapa perubahan struktur yang menggalakkan terutamanya dalam subsektor perjalanan dan pendidikan serta pengangkutan lain. Subsektor pengangkutan lain telah mencatatkan lebihan semenjak 1994 sementara kemasukan bersih subsektor perjalanan telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Namun, lebihan dalam akaun barangan telah dapat mengimbangi defisit akaun perkhidmatan dan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam akaun semasa yang telah beralih kepada kedudukan lebihan bermula pada tahun 1998 seperti ditunjukkan dalam Carta 2-4.

2.14 Akaun modal jangka panjang dalam imbangan pembayaran telah mencatatkan
aliran masuk bersih sebanyak RM130.1 bilion dalam tempoh RRJP2. Ini berikutan daripada aliran masuk bersih modal jangka panjang swasta berjumlah RM107.5 bilion hasil daripada kemasukan pelaburan langsung jangka panjang. Di samping itu, modal rasmi jangka panjang berjumlah RM22.6 bilion yang sebahagian besarnya adalah pinjaman luar negeri oleh PABK untuk membiayai program perkembangan dan permodenan mereka. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan telah mencatatkan pembayaran bersih dalam tempoh RRJP2. Hasil daripada kedudukan kewangannya yang kukuh berserta dengan iltizamnya untuk mengawal hutang luar negeri pada tahap yang boleh diurus, Kerajaan Persekutuan telah membuat pembayaran terdahulu secara terpilih bagi pinjamannya yang lebih mahal dalam tempoh separuh pertama RRJP2. Oleh yang demikian, hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan telah menurun daripada RM24.7 bilion pada akhir tahun 1990 kepada RM13 bilion pada akhir tahun 1997. Walau bagaimanapun, disebabkan krisis kewangan, Kerajaan telah membuat beberapa pinjaman luar negeri yang berjumlah sebanyak RM3.9 bilion dalam tempoh 1999-2000 bagi membiayai perbelanjaan untuk pemulihan ekonomi. Berikutan itu, imbangan keseluruhan dalam imbangan pembayaran yang mengambilkira akaun semasa serta aliran modal jangka pendek dan panjang telah mencatatkan lebihan sebanyak RM86.5 bilion. Rizab Bank Negara Malaysia telah meningkat kepada RM113.5 bilion yang mampu menampung 4.5 bulan import tertangguh pada akhir tempoh Rancangan.
2.15 Nisbah harga eksport dan import dalam tempoh RRJP2 telah meningkat sedikit pada kadar 0.5 peratus setahun disebabkan harga yang tinggi bagi komoditi eksport utama seperti minyak kelapa sawit, kayu balak, kayu yang digergaji, petroleum dan gas cecair asli. Seiring dengan aliran tersebut, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam kuasa beli sebenar telah berkembang sebanyak 7.8 peratus setahun, lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan keluaran sebanyak 7.0 peratus setahun.
2.16 Pengukuhan pembiayaan awam telah diteruskan dalam tempoh RRJP2, menghasilkan lebihan fiskal dalam tahun 1993-1997 berikutan pengurusan fiskal berhemat dan program penswastaan. Krisis kewangan telah memaksa Kerajaan melancarkan sebuah pakej rangsangan fiskal pada tahun 1998 bagi menampung kejatuhan yang ketara dalam pelaburan swasta. Namun demikian, akaun sektor awam telah mencatatkan lebihan keseluruhan sebanyak 1.3 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Pada masa yang sama, defisit keseluruhan akaun Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 1.0 peratus daripada KNK. Walaupun peratusan hasil Kerajaan Persekutuan kepada KNK telah menurun iaitu daripada 25.9 peratus pada tahun 1990 kepada 19.9 peratus pada tahun 2000 ianya telah meningkat pada kadar purata sebanyak 7.7 peratus setahun. Ini adalah berikutan peningkatan kutipan hasil yang lebih tinggi dari cukai pendapatan syarikat dan petroleum, cukai perkhidmatan dan jualan serta hasil bukan cukai sejajar dengan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh tujuh tahun pertama RRJP2 serta pemulihan dalam permintaan aggregat dan harga minyak mentah yang lebih baik dalam tempoh 1999-2000. Saiz perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan dalam peratusan kepada KNK juga menurun daripada 21.9 peratus pada tahun 1990 kepada 18.2 peratus pada tahun 2000. Emolumen yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan mengurus meningkat sedikit daripada 8.0 peratus kepada KNK pada tahun 1990 kepada 8.1 peratus pada tahun 2000. Di samping itu, peratusan penjawat awam, termasuk anggota tentera dan polis, kepada jumlah penduduk telah menurun daripada 4.7 peratus kepada 4.2 peratus dalam tempoh yang sama.
2.17 Pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RRJP2 dicapai dalam persekitaran inflasi yang rendah dan harga yang stabil pada kadar purata 3.4 peratus setahun, seperti ditunjukkan dalam Carta 2-5. Dalam tempoh separuh pertama RRJP2, Kerajaan telah melancarkan pakej anti-inflasi yang komprehensif untuk mengekalkan harga pada tahap yang rendah dan stabil. Kerajaan, antara lain, telah melaksanakan dasar fiskal yang berhemat dengan mengawal perbelanjaan mengurus dan menumpukan perbelanjaan pembangunan kepada projek-projek yang dapat mengurangkan kekangan infrastruktur dan bekalan. Duti import ke atas lebih daripada 3,000 barangan telah dikurangkan atau dimansuhkan untuk menurunkan harga dan mengurangkan kos bagi menjalankan perniagaan. Di samping itu, kempen anti-inflasi telah dilancarkan bagi mendidik orang awam mengenai punca dan kesan inflasi. Walau bagaimanapun, kejatuhan mendadak nilai Ringgit semasa krisis telah meningkatkan harga pengeluar dan pengguna. Untuk menangani keadaan ini, Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah gabungan fiskal, kewangan dan pentadbiran yang berjaya mengawal kadar inflasi pada paras 2.2 peratus dalam tempoh 1999-2000.
2.18 Dalam tempoh RRJP2, negara telah mencapai satu tahap tabungan yang tinggi pada kadar purata 38.0 peratus daripada KNK berbanding dengan 36.8 peratus bagi pelaburan. Peratusan tabungan kepada KNK meningkat daripada

31.6 peratus pada tahun 1990 kepada 39.0 peratus pada tahun 2000 hasil daripada kejayaan kempen untuk meningkatkan tabungan dalam negeri. Faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar tabungan tersebut ialah pendapatan bolehguna yang lebih tinggi, peningkatan sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, perkembangan skim unit amanah, pengenalan instrumen simpanan dan instrumen hutang swasta yang baru, peningkatan deposit dalam sistem perbankan Islam dan nisbah pergantungan yang lebih rendah. Di samping itu, lebihan sektor awam juga menyumbang kepada peningkatan tabungan dalam negeri. Ini menghasilkan lebihan keseluruhan dalam kedudukan sumber negara.
Guna Tenaga, Upah dan Produktiviti
2.19 Dalam tempoh RRJP2 peluang pekerjaan telah meningkat pada kadar tahunan purata sebanyak 3.3 peratus. Oleh kerana kadar permintaan buruh berkembang lebih cepat berbanding dengan pertumbuhan tenaga buruh, kadar pengangguran berada pada tahap yang rendah iaitu pada purata 3.1 peratus dalam tempoh tersebut. Keadaan pasaran buruh adalah ketat terutamanya dalam sektor pembinaan dan pembuatan. Oleh itu, sebagai langkah sementara Kerajaan telah membenarkan pengambilan pekerja asing mengikut keperluan.
2.20 Tempoh RRJP2 turut menyaksikan perubahan struktur dalam guna tenaga berikutan daripada peningkatan dalam intensiti modal dan penggunaan teknologi baru. Permintaan terhadap pekerja yang berkemahiran tinggi dan berpelajaran juga telah meningkat. Jenis pekerjaan yang telah berkembang paling pesat adalah daripada kategori profesional dan teknikal serta kategori pengurusan dan pentadbiran yang meliputi 28.8 peratus daripada jumlah pekerjaan baru yang diwujudkan dalam tempoh RRJP2.
2.21 Produktiviti buruh yang diukur melalui KDNK bagi setiap pekerja meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun terutamanya pada akhir tempoh RRJP2 berikutan peralihan kepada proses pengeluaran berteknologi lebih tinggi dan peningkatan penggunaan buruh. Kenaikan kadar upah di kebanyakan sektor ekonomi adalah kecil dengan kenaikan tertinggi dalam subsektor perkhidmatan lain yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus setahun. Walau bagaimanapun, kenaikan upah keseluruhan sebanyak 1.5 peratus setahun adalah lebih rendah berbanding dengan pertumbuhan produktiviti bagi semua sektor yang menunjukkan penurunan kos seunit buruh.
2.22 Untuk memastikan terdapat hubungan yang lebih rapat antara upah dan produktiviti, Kerajaan telah memperkenalkan Garis Panduan Sistem Reformasi Gaji pada tahun 1996. Sebanyak 114 buah syarikat telah menerima pakai ciriciri sistem upah yang berkaitan dengan produktiviti (PLWS) dalam perjanjian bersama mereka. Seminar, bengkel dan lawatan ke syarikat-syarikat telah diadakan bagi menggalak firma untuk menerima pakai PLWS. Di samping itu, Perbadanan Produktiviti Negara telah menyediakan sebuah pengkalan data dalam Internet bagi menanda aras produktiviti di sektor pembuatan dan pertanian.
Pertumbuhan dan Perubahan Sektor
2.23 Dalam tempoh RRJP2, sektor pembuatan telah berkembang sebanyak10.4 peratus setahun dan menerajui pertumbuhan ekonomi seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-5. Sektor tersebut telah menyaksikan peningkatan dalam kecekapan pengeluaran dan keupayaan, perkembangan berterusan industri berorientasikan eksport serta pasaran yang lebih pelbagai. Tumpuan yang lebih telah diberikan kepada kualiti dan rekabentuk barangan, automasi dan penggunaan mesin, persaingan harga dan sistem pengedaran. Kemajuan telah dicapai dalam menggalakkan industri berintensif modal dan berteknologi tinggi seperti yang ditunjukkan oleh jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan. Selaras dengan dasar yang menggalakkan industri berintensif modal, nisbah pekerja bagi setiap RM1 juta pelaburan telah menurun daripada 6.03 pada tahun 1990 kepada 2.62 pada tahun 2000.
2.24 Subsektor keluaran elektrik dan elektronik telah menjadi lebih berintensif modal terutamanya dalam pengeluaran papan induk komputer, media cakera keras dan wafer silikon. Subsektor tersebut telah mempelbagaikan keluarannya kepada barangan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi terutamanya barangan elektronik pengguna dan industri dan telah mengalami perubahan struktur dalam eksport. Eksport kelengkapan dan komponen elektronik telah berkembang sebanyak 38.6 peratus setahun dalam tempoh 1991-2000 dan melebihi eksport separa-konduktur dari segi kadar pertumbuhan dan saiz. Peratusan kelengkapan dan komponen elektronik kepada jumlah keseluruhan eksport elektronik telah meningkat daripada 23.9 peratus pada tahun 1990 kepada 57.4 peratus pada tahun 2000, sementara peratusan separa-konduktor telah merosot daripada 76.1 peratus kepada 42.6 peratus. Di samping itu, subsektor bahan keluaran kimia industri dan bahan kimia yang lain merupakan penyumbang utama kepada pengeluaran sektor pembuatan.

2.25 Sektor pembinaan telah berkembang pesat terutamanya dalam tempoh 19911997. Subsektor kejuruteraan awam telah dirangsang oleh penswastaan projekprojek infrastruktur dan kejuruteraan awam yang besar seperti jalan raya, lebuh raya, lapangan terbang, penghantaran tenaga, telekomunikasi, pengangkutan rel dan pelabuhan. Perkembangan aktiviti dalam subsektor kediaman telah disokong oleh peningkatan dalam permintaan berikutan pendapatan bolehguna yang lebih tinggi. Penggalakan industri pelancongan turut menyumbang kepada pembangunan subsektor bukan kediaman terutamanya hotel, pusat peranginan dan padang golf. Walau bagaimanapun, berikutan krisis kewangan, sektor pembinaan telah menguncup sebanyak 23.0 peratus pada tahun 1998 dan 5.6 peratus pada tahun 1999, sebelum mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus pada tahun 2000.
2.26 Sektor pertanian telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus setahun yang disumbang terutamanya oleh subsektor kelapa sawit dan makanan. Dalam tempoh RRJP2, terdapat perubahan dalam penggunaan tanah dan tenaga buruh daripada subsektor getah dan koko kepada subsektor kelapa sawit. Sejajar dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga, pembangunan sektor ini telah diorientasikan semula ke arah penggunaan sumber secara optimum dalam kedua-dua subsektor komoditi industri dan makanan melalui peningkatan produktiviti dan daya saing.
2.27 Dalam tempoh RRJP2, sektor perkhidmatan telah berkembang pada kadar purata sebanyak 8.3 peratus setahun dan peratusannya kepada KDNK telah meningkat kepada 51.7 peratus. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi membangunkan sektor perkhidmatan sebagai sumber baru pertumbuhan di samping meningkatkan daya saing industri perkhidmatan sebagai persediaan menghadapi persekitaran yang lebih liberal. Dasar tersebut termasuklah penggalakan perkhidmatan berorientasikan eksport dalam subsektor pelancongan, pendidikan, kesihatan, khidmat pakarunding serta pengangkutan udara dan laut. Di samping itu, pembangunan komunikasi bertahap tinggi, perkhidmatan berkaitan dengan komputer dan perkhidmatan kewangan telah dipergiatkan.
2.28 Dalam sektor perkhidmatan, subsektor kewangan dan pengangkutan telah berkembang pesat seiring dengan peningkatan perdagangan dalam negeri dan antarabangsa. Pelbagai projek infrastruktur yang telah disiapkan seperti lebuhraya, perkhidmatan keretapi komuter berelektrik, rel transit ringan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) serta Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, di samping perkembangan pesat bidang telekomunikasi telah memberangsangkan pertumbuhan subsektor pengangkutan dan komunikasi. Bekalan tenaga dan air menjadi perkhidmatan sokongan yang semakin penting bagi sektor industri yang berkembang pesat. Di samping itu, pertumbuhan subsektor perdagangan borong dan runcit, perhotelan dan restoran yang lebih kukuh menunjukkan peningkatan ketibaan pelancong serta perbelanjaan pengguna berikutan daripada pertambahan pendapatan hasil daripada pertumbuhan ekonomi.
Kemajuan Objektif Pengagihan
2.29 Terdapat hasil yang berbeza-beza dicatatkan dari segi pencapaian objekif pengagihan. Dalam aspek pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula guna tenaga, negara telah mencapai perkembangan yang ketara dalam tempoh RRJP2. Kemajuan juga telah dicatatkan dalam pembangunan MPPB. Walau bagaimanapun, pemilikan ekuiti korporat oleh Bumiputera telah menurun ke paras yang lebih rendah daripada paras yang dicatatkan pada tahun 1990.
2.30 Pembasmian kemiskinan. Kadar kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia telah menurun daripada 16.5 peratus pada tahun 1990 kepada 7.5 peratus pada tahun 1999 seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-6. Bilangan isirumah miskin telah berkurang sebanyak kira-kira 39 peratus kepada 351,100 pada tahun 1999. Kadar kemiskinan di kawasan luar bandar dan bandar telah menurun hampir separuh daripada paras pada tahun 1990. Kadar ketermiskinan di kalangan rakyat Malaysia telah jatuh daripada 3.9 peratus atau 137,100 isirumah pada tahun 1990 kepada 1.4 peratus atau 64,100 isirumah pada tahun 1999.
2.31 Pengagihan Pendapatan. Purata kasar bulanan pendapatan isirumah bagi penduduk Malaysia telah meningkat dua kali ganda kepada RM2,472 pada tahun 1999. Purata pendapatan isirumah 40 peratus terendah telah meningkat sebanyak 11.7 peratus setahun, lebih rendah berbanding dengan kadar yang dicatatkan oleh kategori pendapatan isirumah 20 peratus teratas dan 40 peratus pertengahan. Pada tahun 1999, isirumah berpendapatan 20 peratus teratas memiliki 50.5 peratus daripada pendapatan berbanding 14.0 peratus yang dimiliki oleh isirumah berpendapatan 40 peratus terendah. Pekali Gini, satu ukuran keseluruhan jurang pendapatan mencatatkan peningkatan kecil daripada 0.4421 pada tahun 1990 kepada 0.4432 pada tahun 1999 menunjukkan pengagihan pendapatan yang merosot sedikit dalam tempoh RRJP2.

2.32 Kualiti Hidup. Secara keseluruhannya, kualiti hidup dalam tempoh Rancangan menunjukkan peningkatan yang mantap di mana indeks komposit Kualiti Hidup Malaysia meningkat sebanyak 12 mata seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-7. Peningkatan yang ketara telah dicatatkan dalam bidang persekitaran kerja, pengangkutan dan komunikasi, pendidikan, perumahan serta budaya dan masa lapang kecuali bidang keselamatan awam dan kualiti alam sekitar berikutan terdapatnya lebih banyak laluan kepada kemudahan-kemudahan yang lebih baik.
2.33 Kemajuan yang ketara telah dicapai dalam meningkatkan kualiti hidup di semua negeri melalui penyediaan secara berterusan kemudahan sosial dan infrastruktur yang mencukupi bagi penduduk di luar bandar dan bandar. Ini telah dicerminkan oleh petunjuk sosioekonomi seperti bilangan motokar dan motosikal yang berdaftar bagi setiap 1,000 penduduk, telefon bagi setiap 1,000 penduduk serta kadar kematian bayi dan bilangan doktor bagi setiap 10,000 penduduk. Dari segi kemudahan asas, negeri Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu masih berada di bawah kadar purata negara sebanyak 91.2 peratus bagi liputan bekalan air paip manakala bekalan elektrik pula, hanya Sabah dan Sarawak masih berada di bawah kadar purata negara. Kawasan yang sukar dilalui dan wujudnya daerah yang terpencil telah menyukarkan penyaluran bekalan air paip dan elektrik.
2.34 Penyusunan Semula Ekuiti. Pemilikan modal saham Bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat daripada 19.3 peratus pada tahun 1990 kepada 20.6 peratus pada tahun 1995 tetapi menurun semula kepada 19.1 peratus pada tahun 1999 seperti ditunjukkan dalam Jadual 2-8. Dalam nilai mutlak, pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat daripada RM20.9 bilion pada tahun 1990 kepada RM59.4 bilion pada tahun 1999. Pada akhir tempoh RRJP2, sejumlah 19.6 peratus syarikat yang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat berada di bawah kawalan Bumiputera. Peratusan syarikat Bumiputera dalam semua sektor ekonomi masih lagi rendah iaitu antara 8.7 hingga 32.6 peratus di mana kebanyakannya tertumpu dalam sektor pertanian, pembinaan dan pengangkutan.
2.35 Dalam tempoh separuh masa pertama RRJP2, pemilikan ekuiti bukan-Bumiputera telah meningkat dengan ketara daripada RM50.8 bilion pada tahun 1990 kepada RM125 bilion pada tahun 1999, walaupun peratusan ekuiti saham korporatnya telah menurun daripada 46.8 peratus pada tahun 1990 kepada 40.3 peratus pada tahun 1999. Galakan pelaburan asing untuk merangsang pertumbuhan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi telah menghasilkan peningkatan yang nyata dalam pemilikan modal ekuiti asing dalam sektor korporat daripada 25.4 peratus kepada 32.7 peratus dalam tempoh yang sama. Pemilikan asing yang tertinggi telah dicatatkan dalam bidang seperti pembuatan, utiliti serta perdagangan borong dan runcit.
2.36 Program penswastaan terus menjadi alat untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat. Dalam hal ini, pelbagai garis panduan telah dirangka termasuk peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti kepada Bumiputera oleh syarikat yang menjalankan projek penswastaan, peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja kontrak projek penswastaan utama kepada kontraktor Bumiputera dan keperluan bagi projek besar yang diswastakan untuk menubuh program pembangunan vendor. Sehingga bulan April 2000, sejumlah 180 buah syarikat telah diberi konsesi oleh Kerajaan Persekutuan di mana 61.0 peratus daripadanya diuruskan dan dikuasai oleh Bumiputera. Kebanyakan daripada projek penswastaan yang di kawal oleh Bumiputera adalah dalam sektor pembinaan, pembuatan, pengangkutan serta perdagangan borong dan runcit.
2.37 Penyusunan Semula Guna Tenaga. Usaha Kerajaan untuk meningkatkan peratusan guna tenaga Bumiputera bagi pekerjaan di peringkat tinggi telah diperlengkapkan lagi oleh inisiatif sektor swasta dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada Bumiputera yang layak. Hasilnya, peratusan Bumiputera dalam kategori profesional dan teknikal, termasuk guru dan jururawat telah meningkat daripada 60.5 peratus pada tahun 1990 kepada 63.8 peratus pada tahun 2000. Peratusan Bumiputera dalam kategori pentadbiran dan pengurusan juga meningkat daripada 28.7 peratus kepada 36.9 peratus dalam tempoh yang sama. Walau bagaimanapun, peratusan tersebut masih rendah berbanding dengan kumpulan etnik yang lain. Peratusan Bumiputera yang berdaftar dalam lapan kategori pekerjaan professional iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, jurutera, peguam, juruukur dan doktor veterinar telah meningkat daripada 20.7 peratus pada tahun 1990 kepada 28.9 peratus pada tahun 1999.
2.38 Guna tenaga Bumiputera dalam beberapa sektor utama terus meningkat, menggambarkan pengukuhan dan peralihan dalam struktur guna tenaga Bumiputera dari sektor pertanian ke sektor lain ekonomi terutamanya sektor pembuatan, kewangan dan pengangkutan. Peratusan Bumiputera dalam sektor pembuatan adalah sebanyak 49.1 peratus, lebih rendah berbanding peratusan Bumiputera dalam sektor pertanian sebanyak 61.6 peratus. Dalam sektor pembuatan, sebilangan besar Bumiputera bekerja dalam industri seperti elektrik dan elektronik, tekstil dan keluaran tekstil, kayu dan keluaran kayu serta keluaran makanan.
2.39 Pembangunan MPPB. Dalam tempoh RRJP2, tumpuan telah diberikan kepada pembangunan MPPB yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan melalui pelbagai program pembangunan keusahawanan. Sektor swasta telah menyumbang kepada usaha tersebut dengan melaksanakan program seperti pembangunan vendor dan francais serta usaha sama. Pelaksanaan program untuk membangunkan MPPB juga telah menyumbang kepada peningkatan bilangan usahawan Bumiputera dalam kedua-dua sektor korporat dan bukan korporat. Terdapat kira-kira 697,000 usahawan Bumiputera yang berdaftar dengan Pendaftar Perniagaan dalam tempoh RRJP2. Di samping itu, sejumlah kira-kira 57,700 syarikat Bumiputera telah berdaftar dengan Pendaftar Syarikat dalam tempoh yang sama. Walaupun sebilangan besar usaha niaga Bumiputera telah dibangunkan dalam sektor ekonomi yang moden dan dinamik, kesan keseluruhannya masih terhad memandangkan asas perusahaan Bumiputera yang kecil di samping modal yang tidak mencukupi, kekurangan pengalaman dan kemahiran pengurusan serta terlalu bergantung kepada bantuan dan kontrak Kerajaan. Di samping itu, krisis ekonomi pada tahun 1998 telah menjejaskan prestasi perusahaan Bumiputera. Walaupun bilangan usaha niaga Bumiputera dalam sektor ekonomi yang moden dan dinamik telah meningkat, sebilangan besar usahawan Bumiputera tertumpu dalam sektor pembinaan dan aktiviti perkhidmatan di peringkat rendah seperti pengagihan gas, operasi stesen minyak dan pengurusan agensi pelancongan.
2.40 Teras pembangunan wilayah adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan antara negeri serta antara kawasan bandar dan luar bandar. Dalam tempoh RRJP2, negeri yang terlibat dalam aktiviti sektor moden telah berupaya mencapai pertumbuhan yang pesat berbanding dengan negeri yang bergantung kepada aktiviti pertanian. Ini telah meluaskan jurang ekonomi antara negeri yang lebih maju iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Perak dengan negeri yang kurang maju iaitu Pahang, Kedah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Sabah. Di samping itu, nisbah jurang pendapatan antara isirumah luar bandar dan bandar telah meningkat daripada 1:1.7 pada tahun 1990 kepada 1:1.81 pada tahun 1999. Bagi meningkatkan pembangunan negeri yang kaya dengan tanah dan sumber asli seperti Sabah dan Sarawak, pelaburan dalam pengeluaran pertanian terutamanya tanaman estet telah digalakkan. Begitu juga penyatuan tanah dan pengeluaran tanaman secara komersil telah digalak untuk mengembangkan ekonomi luar bandar. Sejumlah 744,350 hektar tanah telah disatukan, ditanam semula dan dipulihkan dalam tempoh RRJP2.
2.41 Bagi mempergiatkan lagi pembangunan luar bandar, Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar telah diperkenalkan di mana orientasinya telah beralih daripada pembangunan fizikal kepada penekanan yang seimbang bagi kedua-dua pembangunan manusia dan fizikal. Di samping itu, badan-badan berkanun dalam sektor pertanian telah diperkemas dan diperkukuhkan bagi membolehkan mereka menyumbang dengan lebih berkesan kepada pembangunan luar bandar. Dalam hal ini, beberapa agensi telah diswasta atau dirombak. Dua buah lembaga pembangunan wilayah iaitu Lembaga Pembangunan Pahang Tenggara dan Lembaga Pembangunan Jengka telah diswastakan sementara unit pengurusan bagi lima projek pembangunan integrasi pertanian di luar kawasan jelapang padi telah ditutup.
2.42 Peluang ekonomi yang lebih banyak di pusat-pusat bandar terus menjadi daya tarikan penghijrahan masuk migran yang seterusnya telah meningkatkan pemusatan penduduk di kawasan tersebut. Pada tahun 1991, kawasan bandar telah didefinasikan semula dengan mengambil kira penggabungan kawasan dan kawasan binaan. Dengan itu, saiz penduduk bandar telah meningkat daripada 8.9 juta pada tahun 1991 kepada 14.4 juta pada tahun 2000 dan kadar perbandaran telah meningkat daripada 50.7 peratus pada tahun 1991 kepada 61.8 peratus pada tahun 2000. Pertumbuhan pesat sesetengah bandaraya dan bandar besar telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan sosial yang berkualiti. Sebagai tindak balas kepada peningkatan dalam kadar perbandaran, usaha telah diambil bagi memperbaiki perkhidmatan di bandar dan keupayaan pengurusan pihak berkuasa tempatan. Dalam tempoh RRJP2, Kota Kinabalu dan Shah Alam telah diisytiharkan sebagai bandaraya dan Majlis Daerah seperti Ampang Jaya, Selayang, Subang Jaya, Temerloh dan Kluang telah dinaikkan taraf kepada Majlis Perbandaran. Di samping itu, Kerajaan telah melaksanakan dasar untuk memperluaskan pembangunan di luar kawasan pusat bandar yang sedia ada ke kawasan sekelilingnya seperti Prai, Serdang, Senawang dan Pasir Gudang.
2.43 Pembinaan dan menaik taraf jalan raya dan lebuh raya seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Lembah Klang Utara dan Lebuhraya Damansara-Puchong telah menghasilkan lebih banyak pembangunan di beberapa bandar yang sedia ada seperti Nilai, Bandar Baru Kelang dan Bandar Bukit Puchong serta penubuhan bandar baru seperti Kota Kemuning. Di samping itu, tempoh tersebut turut menyaksikan pembangunan beberapa inisiatif baru termasuk pembangunan bandar yang mempunyai ciri-ciri istimewa seperti Taman Hi-Tech Kulim, Putrajaya, Cyberjaya dan Kertih.
2.44 Dalam tempoh RRJP2, kerjasama ekonomi rantau kecil dengan negaranegara jiran telah digalakkan lagi dengan penubuhan tiga Kawasan Pertumbuhan Segitiga iaitu Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Singapura, Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina. Penubuhan kawasan segitiga tersebut telah membuka peluang perdagangan dan pelaburan baru di kalangan negara yang turut serta. Sektor swasta telah diberikan peranan utama sementara kerajaan negara yang terlibat telah bertindak sebagai pemudahcara dalam pembangunan dan pelaksanaan projek-projek usaha sama dalam kawasan tersebut. Sebuah mekanisma perundingan tiga peringkat yang melibatkan sektor awam dan swasta juga telah diwujudkan bagi memperkemaskan prosedur serta memudahkan perdagangan dan perniagaan dalam kawasan berkenaan.
IV : PENUTUP

2.45 Strategi serta dasar RRJP2 telah menyumbang ke arah pengukuhan dan pemodenan asas industri negara. Negara telah mencapai pertumbuhan yang pesat walaupun dilanda krisis kewangan pada tahun 1997-1998. Ini telah diiringi oleh pertambahan yang ketara dalam tahap pendapatan dan peningkatan dalam kualiti hidup rakyat Malaysia dengan kemajuan yang nyata dalam pengurangan kadar kemiskinan.

0 comments:

Post a Comment